Zun Nun Al-Misri
date_range 25-09-2026 timer min Read account_circle share visibility 38 favorite 0

Zun Nun Al-Misri

Kisah Wali yang Ke-12 – Zun Nun al-Misri

Beliau ialah seorang yang handal dalam bidang kerohanian dan sangat termasyhur kerana sifat warak, kesolehan serta kuat beribadat.

Penduduk di Mesir pada ketika itu menganggap beliau sebagai seorang yang membawa bidaah. Oleh sebab itu, beliau ditentang oleh orang-orang yang tidak menyenanginya.

Bagaimana Beliau Menceburi Bidang Kerohanian

Bagaimana beliau termasuk dalam bidang kerohanian atau kesufian ini diceritakan seperti berikut.

Ada seorang hamba Allah memberitahu beliau bahawa seorang wali Allah yang besar telah menggantungkan dirinya secara terbalik pada sepohon pokok.

Beliau pun pergi berjumpa dengan orang yang menggantungkan dirinya itu lalu bertanya, “Kenapa tuan menyeksa diri tuan seperti ini?”

Orang yang menggantungkan dirinya itu berkata kepada dirinya sendiri, “Wahai badanku, selagi kamu tidak patuh kepada rohaniku, aku akan menghukum kamu hingga mati.”

Zun Nun menangis melihat perkara itu. Orang yang menggantungkan diri itu mendengar tangisan Zun Nun lalu berkata, “Siapakah orang yang berdosa itu yang menangis dan berasa kasihan kepadaku?”

Zun Nun pergi ke hadapan orang itu, memberi salam dan bertanya, “Kenapa tuan menyeksa badan tuan?”

Orang itu menjawab, “Badanku tidak taat dalam beribadat kepada Allah. Oleh itu, aku menghukumnya.”

Zun Nun berkata, “Saya sangka tuan telah membunuh orang atau melakukan dosa besar.”

Orang itu berkata, “Tidak ada dosa yang lebih besar daripada berkawan dengan ahli dunia kerana semua dosa terbit daripada berkawan dengan mereka.”

Zun Nun berkata, “Tuan sebenarnya seorang wali Allah yang soleh.”

Orang itu berkata, “Jika kamu hendak bertemu dengan wali Allah yang soleh, pergilah ke bukit sana.”
 

Kisah Zun Nun al-Misri pergi ke Bukit

Zun Nun pergi ke bukit yang dikatakan oleh orang itu. Di situ, beliau menjumpai seorang darwish. Sebelah kakinya telah bercerai daripada badannya. Kaki yang bercerai itu tergelimpang di hadapan pintu dan telah busuk dimakan ulat.

Darwish tersebut sedang duduk mengenang Allah di dalam biliknya. Zun Nun bertanya, “Apakah maksud perkara ganjil yang dilihatnya itu?”

Darwish atau wali itu menjawab:

“Pada suatu hari, aku sedang duduk di dalam bilikku. Ketika sedang duduk itu, aku terdengar bunyi langkah kaki seorang gadis. Gadis itu sedang berjalan di situ. Pada waktu itu, timbullah nafsu cinta dalam hatiku.

Aku pun bangun untuk melihatnya. Tiba-tiba terdengar suara berkata, ‘Tidakkah engkau malu menghambakan diri kepada syaitan setelah engkau mengabdikan diri kepada-Ku semenjak 30 tahun yang silam?’

Teguran itu menyedarkan aku. Oleh itu, kaki aku yang telah melangkah keluar kerana tujuan yang tidak baik tadi pun aku potong.”

Orang itu bertanya kepada Zun Nun, “Kenapa beliau mahu berjumpa dengan aku yang berdosa ini?”

Katanya lagi, “Jika hendak bertemu dengan wali Allah yang sebenarnya, Zun Nun hendaklah naik lagi ke atas bukit itu. Di sana akan dijumpai seorang yang benar-benar wali Allah.”

Oleh kerana Zun Nun tidak mahu naik ke atas bukit itu, beliau pun meminta orang tersebut menceritakan tentang wali Allah yang dimaksudkan itu.

Orang itu berkata, “Telah bertahun-tahun lamanya wali Allah itu tinggal di atas bukit tersebut. Semasa beliau tinggal di situ, pada suatu hari datanglah seorang hamba Allah menemuinya dan berkata, ‘Janganlah mengharapkan sedekah daripada orang lain untuk hidup, tetapi carilah nafkah sendiri.’

Semenjak itu, wali Allah tersebut tidak mahu meminta sesuatu daripada manusia lagi. Kadang-kadang beliau tidak makan langsung.

Namun, lama-kelamaan, dengan kehendak Allah, beliau diberikan rezeki oleh Allah melalui lebah yang memberinya makan madu. Lebah-lebah itu datang dan menggugurkan madu untuknya. Itulah yang dimakannya untuk menghilangkan lapar dan dahaga.”

Zun Nun sungguh terpesona mendengar cerita yang ganjil itu.

Semasa berada di bukit tersebut, Zun Nun melihat seekor burung buta bertenggek di atas dahan pokok.

Terlintas di hatinya hendak mengetahui bagaimana burung itu mendapatkan makanan.

Tiba-tiba, burung itu turun ke tanah lalu mematuk tanah tersebut dengan muncungnya. Setelah tanah itu digalinya, dilihatnya di situ ada jagung dan sebuah bekas emas yang mengandungi air.

Itulah yang dimakan dan diminum oleh burung tersebut. Kemudian, tanah itu kembali semula seperti asal, dan burung itu pun terbang kembali ke dahan pokok tersebut.

 

Selepas peristiwa itu, Zun Nun pun bertambah yakin bahawa sesiapa yang sentiasa mengenal Allah akan diberikan rezeki oleh Allah dan dipelihara oleh-Nya. Dia tidak akan berlindung kepada selain Allah.

Semenjak itu, Zun Nun tidak lagi menghiraukan hal-hal keduniaan. Beliau terus menyebut nama Allah sentiasa dan menjalankan amalan-amalan kerohanian.

Pada suatu hari, Zun Nun sampai ke sebuah terusan. Beliau mengambil wuduk di situ. Kemudian, dilihatnya berhampiran dengan terusan itu terdapat sebuah istana yang indah.

Di serambi istana itu, berdiri seorang perempuan cantik yang sedang menunduk. Perempuan itu meminta Zun Nun bercakap.

Kata perempuan itu, “Apabila saya melihat tuan dari jauh, saya sangkakan tuan seorang yang gila. Apabila tuan semakin hampir, saya lihat tuan ini seorang yang alim. Apabila tuan datang lebih dekat lagi, saya menganggap tuan seorang yang bercahaya jiwanya.

Tetapi apabila tuan bercakap kepada saya, maka saya menganggap tuan bukan gila, bukan alim dan bukan juga seorang yang bercahaya jiwanya.”

Zun Nun bertanya, “Kenapa kamu berkata begitu?”

Perempuan itu menjawab, “Jika tuan gila, tentu tuan tidak akan berwuduk. Jika tuan seorang yang alim, tuan tidak akan melihat saya. Jika tuan seorang yang bercahaya jiwanya, tuan tidak akan melihat kepada yang lain kecuali Allah.”

Setelah berkata demikian, perempuan itu pun ghaib.

Zun Nun menganggap bahawa peristiwa itu sebenarnya berlaku atas kehendak Allah jua.

Pada suatu hari, adik perempuan Zun Nun terdengar beliau mengaji al-Quran. Ayat yang dibacanya menyatakan bahawa Allah memberikan rezeki kepada Bani Israel.

Mendengar ayat tersebut, perempuan itu pun mula mendirikan solat dan bersumpah tidak akan bangun sehingga makanan tiba di hadapannya daripada Allah.

Tiba-tiba, datanglah makanan dari langit. Dia pun bangun dan terus pergi ke belantara.

Semenjak dari itu, tidaklah kedengaran berita tentang adik perempuan Zun Nun itu lagi.

Pada suatu hari, Zun Nun pergi ke sebuah bukit. Di situ, beliau melihat ramai orang sakit sedang duduk menunggu seorang wali Allah yang tinggal di sebuah gua berhampiran.

Wali Allah itu keluar melihat dunia hanya setahun sekali. Setelah keluar, beliau pun memandang ke langit dan kemudian menghembuskan nafasnya kepada pesakit-pesakit itu.

Orang-orang sakit itu pun akan sembuh kembali. Zun Nun menunggu ketibaannya. Apabila beliau keluar, Zun Nun melihat mukanya bersinar. Meskipun beliau telah tua, namun rupanya sangat hebat.

Beliau pun memandang ke langit. Orang-orang sakit itu datang kepadanya seorang demi seorang. Beliau akan menghembuskan nafasnya kepada orang-orang sakit tersebut, lalu penyakit mereka pun sembuh.

Setelah selesai upacara itu, Zun Nun pun pergi bertemu dengannya. Sebelum sempat Zun Nun sampai ke tempatnya, beliau sempat memegang pakaiannya dan berkata,

“Tuan telah menyembuhkan penyakit manusia, sedangkan saya ini sakit rohani. Harap tuan sembuhkan sakit saya ini.”

Beliau pun menjawab,

“Zun Nun, jauh dariku dan jangan pegang pakaianku. Tinggalkan aku. Jika tidak, Allah akan membebankan aku untuk menjagamu dan kamu menjagaku, lalu hilanglah keikhlasan antara kita.”

Selepas berkata demikian, beliau pun pergi masuk ke dalam guanya.

 

Zun Nun pernah berkata,

“Saya berdakwah selama 30 tahun, tetapi hanya seorang sahaja yang mengambil faedah daripada pengajaran saya. Beliau ialah seorang putera raja.

Pada suatu hari, beliau melintas di masjid tempat saya memberi syarahan dan terdengar saya berkata, ‘Tidak ada orang yang lebih bodoh daripada orang yang melawan orang yang lebih kuat daripadanya.’

Putera itu bertanya kepada saya maksud ucapan tersebut.

Saya menjawab, ‘Maksud ucapan saya itu ialah bahawa seseorang itu bodoh jika dia hendak melawan Tuhan.’

Beliau pun pergi. Keesokan harinya, beliau datang kembali dan bertanya kepada saya tentang jalan untuk menuju kepada Allah.

Saya katakan kepada beliau, ‘Ada dua jalan, iaitu jalan panjang dan jalan pendek.

Jalan yang panjang itu memerlukan kita meninggalkan dunia, meninggalkan hawa nafsu dan menghindarkan diri daripada dosa.’”

“Jalan yang pendek itu ialah meninggalkan apa sahaja selain Allah.”

Beliau berkata, “Saya mahu jalan yang pendek itu.”

Selepas berkata demikian, beliau pun meninggalkan pakaian dirajanya dan memakai pakaian yang kasar. Kemudian, beliau terus pergi ke hutan.

Di sana, beliau mendapat nur ketuhanan.

 

Zun Nun berkata:

“Aulia Allah tidak pernah tamak kepada wang.”

Katanya lagi, “Orang yang tidak berada dalam keredaan Allah takut menjadi fakir.”

Zun Nun berkata bahawa terdapat enam perkara yang merosakkan kerohanian seseorang, iaitu:

  1. Malas hendak melakukan perkara-perkara kebajikan.

  2. Mengikut nasihat syaitan yang membawa kepada keburukan.

  3. Tidak memikirkan bahawa kematian sentiasa menunggu setiap manusia.

  4. Berhenti berusaha untuk mencari keredaan Tuhan kerana ingin mendapatkan keredaan makhluk.

  5. Diri terjatuh ke dalam perangkap hawa nafsu dan keluar daripada jalan orang-orang yang soleh, iaitu menurut dan menjalani kehidupan seperti Nabi dan para sahabatnya.

  6. Melakukan kesalahan kepada Allah dengan niat untuk mengikuti jalan yang sesat serta tidak mahu melakukan dan menyebut tentang amal-amal soleh.

Zun Nun berkata:

“Siapa yang mencintai makhluk Allah, maka dia tidak akan mencintai-Nya.”

Zun Nun berkata, “Memencilkan diri itu adalah daripada guru yang paling baik menurut jalan kerohanian.”

Menurut beliau, apabila orang yang berdosa itu benar-benar bertaubat, maka dosanya akan diampunkan oleh Allah.

Allah berfirman:

“Siapa yang benar-benar menghambakan diri kepada-Ku, maka Aku menjadi pendengarannya, penglihatannya dan kekuatannya.”

 

 

Kata-kata Zun Nun al-Misri

1. Muzik kerohanian adalah ubat bagi hawa nafsu. Sesiapa yang mendengarnya dengan ikhlas akan mendapat jalan menuju Allah. Barang siapa mendengarnya untuk memuaskan hawa nafsunya sendiri, maka dia adalah ahli bidaah.

2. Tawakal kepada Allah bererti menyerahkan segala urusan kepada Allah setelah berusaha.

3. Mengasihi para aulia Allah adalah mengasihi Allah.

4. Tanda datangnya cinta kepada Allah ialah apabila cinta kepada makhluk semakin hilang.

5. Qanaah adalah lebih baik daripada kekayaan dunia kerana ia membawa kepada keselamatan.

6. Tanda orang yang beriman ialah dia tidak terlalu mementingkan perkara keduniaan dan tidak memuji makhluk secara berlebihan.

7. Orang yang hampir dengan Allah tidak bergantung dan meminta pertolongan kepada makhluk.

8. Sesiapa yang berkata bahawa dia pernah melihat Allah, maka sebenarnya dia belum benar-benar mengenal-Nya. Sesiapa yang benar-benar mengenal Allah akan menjaga lisannya daripada berkata-kata tentang perkara yang tidak layak.

9. Seseorang itu bukanlah murid yang sebenar sekiranya dia tidak taat kepada gurunya dalam perkara kebaikan sebagaimana dia taat kepada Allah.

10. Sentiasalah bersedia untuk mati dan kumpulkan bekalan untuk perjalanan menuju akhirat.

11. Perhitungkanlah amalanmu sebelum kamu diperhitungkan pada hari akhirat.

12. Orang yang menjaga dan menutup mulutnya akan terselamat.

13. Apakah gunanya dunia jika ia menyebabkan kamu melupakan Allah?

14. Janganlah membenci orang yang berdosa kerana kamu tidak tahu. Sebelum dia meninggal dunia, mungkin dia bertaubat dan Allah menerima taubatnya serta meninggikan darjatnya.

15. Janganlah menyesali perkara yang telah lalu dan jangan terlalu risau akan perkara yang akan datang. Gunakanlah masa kini sepenuhnya untuk hidup dalam mengingati Allah.

Kata-kata Zun Nun al-Misri Sebelum Wafat

Semasa Zun Nun hendak menghembuskan nafas terakhir, beliau telah ditanya apakah yang beliau kehendaki.

Beliau menjawab, “Saya hendak mengetahui waktu kematian sebelum saya menghembuskan nafas terakhir ini.”

Kemudian, beliau pun berkata:

“Takut kepada Allah menyebabkan aku sakit. Rindu hendak bertemu dengan-Nya telah membakarku. Cinta telah membunuhku, dan Allah menghidupkanku.”

Pada masa itu, Ibn Yusuf tiba dan meminta pengajaran daripada beliau.

Zun Nun berkata, “Janganlah bercakap denganku pada waktu ini kerana aku sedang berada di lembah yang menakjubkan. Aku sedang melihat rahmat dan kurnia Allah sedang menghujani aku.”

Selepas itu, beliau pun kembali ke rahmatullah.

Pada saat beliau menghembuskan nafas terakhir, orang ramai melihat seolah-olah ada tangan ghaib menulis di dahinya dalam tulisan Arab:

“Dia ialah kekasih Allah. Dalam cinta Allah, dia mati. Dia mati dibunuh oleh pedang Allah.”

Semasa jenazahnya dibawa ke kubur, burung-burung berterbangan dan mengembangkan sayapnya seolah-olah melindungi jenazah beliau daripada panas matahari.

Jari beliau kelihatan terkeluar daripada jenazahnya tatkala kedengaran azan dari masjid yang berhampiran. Orang ramai tercengang. Mereka menyangka beliau masih hidup, tetapi ternyata beliau telah meninggal dunia. Namun, jarinya masih terangkat.

Selepas jenazah beliau diturunkan ke dalam liang lahad, barulah orang ramai mengetahui bahawa beliau bukanlah seorang ahli bidaah, tetapi sebenarnya seorang wali Allah yang besar.

Selepas ini, akan dibaca pula kisah tentang Abu Yazid al-Bustami.

 

Pautan Kisah Lain

Zunnun Al Misri - https://sifumotivasi.com/my/blog/b/zun-nun-al-misri

Bisyur Al Hafi - https://sifumotivasi.com/my/blog/b/kisah-bisyir-al-hafi

Ibrahim Adham - https://sifumotivasi.com/my/blog/b/kisah-ibrahim-adham

Fudhail Iyadh- https://sifumotivasi.com/my/blog/b/kisah-wali-fudhail-bin-iyadh

Rabiatul Adawiyah- https://sifumotivasi.com/my/blog/b/rabiatul-adawiyah

Muhammad Ibnu Wasi'- https://sifumotivasi.com/my/blog/b/muhammad-ibnu-wasi-

Malik bin DInar - https://sifumotivasi.com/my/blog/b/malik-bin-dinar

Hasan Al Basri - https://sifumotivasi.com/my/blog/b/hasan-al-basri

Abu Jakfar As Sidik- https://sifumotivasi.com/my/blog/b/abu-jakfar-as-sodik

Artikel Berkaitan
Appsheet A
date_range 01-08-2026 timer 8 min Read

Appsheet Amalan Baik

Buku Sifu
date_range 01-08-2026 timer 5 min Read

Buku Sifu : Rahsia Disebalik Cap Jari

Cara Downl
date_range 06-09-2026 timer 5 min Read

Cara Download Data Idme

Dapatkan artikel terkini dan tawaran ebook eksklusif dengan menyertai komuniti Sifu Motivasi